Saturday, 28 September 2019

Perleluasan Fitnah Yang Berlaku Dalam Internet atau Media Sosial



DUA 6022: KOMUNIKASI & PENYIARAN DALAM ISLAM

TAJUK

Perleluasan fitnah yang berlaku dalam internet atau media sosial.

NAMA PENSYARAH

Encik Mohd Noor Zaidi Bin Mohd Zawawi

NAMA

Nur Farhanah Binti Mamat (02DSK17F1021)
Fasiha An Nisa Binti Mohd Misni (02DSK17F1047)
Nurul Atirah Binti Abd Ghani (02DSK17F1053)
Siti Nur Aliffah Binti Azmi (02DSK17F1059)

KELAS

DSK5B

INDEKS


NO
PERKARA
1.
Penghargaan
2.
Pengenalan
3.
Definisi Fitnah
4.
Jenis-Jenis Fitnah
5.
Faktor-Faktor Berlakunya Fitnah
6.
Hukuman Fitnah dalam Undang-Undang Negara
7.
Hukuman Fitnah dalam Undang-undang Islam
8.
Kesan-Kesan Fitnah
9.
Langkah-Langkah Mengatasi Fitnah
10.
Cara-Cara Menghadapi Fitnah Dalam Islam
11.
Kesimpulan
12.
Lampiran
13.
Rujukan

1. PENGHARGAAN
Assalamualaikum. Alhamdulillah, bersyukur ke atas hadrat Ilahi dengan limpahan rahmat yang dianugerahkan kepada kami dapat juga kami menyiapkan e-folio ini dengan jayanya.  E-folio ini amat penting buat kami dan merupakan sebahagian daripada kerja khusus mata pelajaran DUA 6022 Komunikasi Dan Penyiaran Dalam Islam.

Sekalung penghargaan buat Encik Mohd Noor Zaidi bin Mohd Zawawi selaku pensyarah pembimbing kerana telah banyak memberikan bimbingan dan tunjuk ajar kepada kami.

Seterusnya, tidak lupa juga, jutaan terima kasih kepada ibu bapa dan rakan-rakan kami kerana turut memberikan sokongan, dorongan dan bantuan kepada kami sepanjang menyiapkan e-folio ini.

Akhir sekali, semoga Allah S.W.T memberikan balasan yang baik kepada semua pihak yang telah membantu kami secara langsung mahupun secara tidak langsung.

2.  PENGENALAN
Pada masa kini, isu fitnah bukan sahaja berbentuk percakapan antara dua pihak namun dalam bentuk penulisan juga. Misalnya, dalam komunikasi massa terutamanya dalam blog juga turut wujudnya fitnah. Fitnah merupakan satu perbuatan yang terkutuk dan sangat dicela oleh mana-mana agama. Firman Allah yang bermaksud:

“Wahai orang yang beriman, jika datang kepadamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpa sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.

                                                                                                            (Surah al-Hujurat, ayat 6)

Firman ini memberi gambaran bahawa setiap kata-kata yang disampaikan perlu diteliti dan diselidik terlebih dahulu agar kebenarannya dapat dipastikan dan khabar tersebut tidak mengandungi unsur fitnah. Hal ini bagi mengelakkan kesan buruk yang akan menimpa seseorang individu atau ahli masyarakat. Rasulullah S.A.W juga bersabda. Maksudya: “Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah.”

                                                                                           (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis Rasulullah ini menunjukkan bahawa fitnah merupakan dosa yang sangat besar dan berat sehingga tidak dapat memasuki syurga. Oleh itu, Islam melarang dan mengharamkan dengan keras perbuatan fitnah. Hal ini kerana kesan fitnah adalah sangat buruk hingga boleh memudaratkan seseorang individu, keluarga, masyarakat dan negara.

3.  DEFINISI FITNAH
Perkataan ‘fitnah’ berasal daripada bahasa Arab yang bermaksud kekacauan, bencana, cubaan dan penyesatan. Atau dalam pengertian sehari-hari, kata fitnah ini sering dimaksudkan sebagai berita bohong atau tuduhan yang diada-adakan untuk membinasakan seseorang yang tidak sesuai dengan kenyataan atau kebenaran.


Kamus Dewan pula mendefinisikan fitnah sebagai tuduhan yang diada-adakan untuk memburukkan atau membencanakan seseorang.  Fenomena atau budaya fitnah memfitnah ini sebenarnya tidak hanya terjadi pada dunia hari ini sahaja tetapi telah berlaku sejak zaman Rasulullah s.a.w dan zaman sebelum Baginda lagi. Tujuan fitnah ini adalah semata-semata untuk menjatuhkan atau menghancurkan keamanan dan perpaduan yang ada demi memuaskan hati sang pembuat fitnah yang majoritinya berkaitan harta dan kekuasaan.

Suatu kisah yang telah diriwayatkan oleh Muslim, Abu Daud dan Tarmizi berdasarkan sebuah hadis Rasulullah SAW boleh dijadikan teladan mengenai penyebaran fitnah:

“Adakah kamu tahu apa itu ghibah?, mereka berkata:  Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.  Baginda berkata:  “Engkau menyebut tentang saudaramu sesuatu perkara tidak disukainya”.  Dikatakan: Apakah pendapatmu, sekiranya apa yang dikatakan itu ada pada saudaraku?  Baginda bersabda:  “Sekiranya apa yang kamu katakan ada padanya, maka kamu telah mengumpatnya, jika apa yang kamu katakan tiada padanya maka kamu telah memfitnahnya.”

(Muslim, Abu daud dan At-Tarmizi)

Hadis tersebut jelas menunjukkan kepada kita bahawa pembohongan ataupun ghibah (menyebut keburukan orang lain walaupun benar) itu ialah sesuatu perkara yang dikutuk dalam Islam.

4.  JENIS-JENIS FITNAH
Dari segi bentuk UNDANG-UNDANG:

Di dalam Akta Fitnah 1957, fitnah telah diklasifikasikan kepada dua bahagian :

1.  Libel. Sebarang penerbitan yang kekal yang ditujukan kepada mata. Kefitnahan juga boleh tergolong sebagai fitnah jenayah atau fitnah sivil. Fitnah jenayah diambil tindakan di bawah Kanun Kesiksaan (Akta 574) dan fitnah sivil diambil tindakan di bawah Akta Kefitnahan 1957 (Safar, 2002).


2. Slander. Fitnah ini berbentuk percakapan dan ia adalah sejenis fitnah yang tidak kekal dan ditujukan kepada telinga. Di Malaysia slander boleh dianggap sebagai satu jenayah di bawah Seksyen 499 Kanun Jenayah. Terdapat peruntukkan khas di mana terdapat jenis-jenis fitnah tidak perlu dibuktikan seperti fitnah terhadap wanita (Seksyen 4 Akta Fitnah), slander berkaitan reputasi rasmi, professional atau perniagaan dan slander hak milik.

Agak penting mengenal pasti fitnah yang mana satu slander dan libel kerana undang-undang mengenakan tanggungan yang berbeza terhadap kedua-duanya.

Satu tuntutan bagi fitnah yang dilakukan secara slander hanya boleh dibuat jika orang yang menuntut (claimant) dapat menunjukkan kerugian khas (special damages, kecuali dalam kes-kes tertentu).

Tetapi dalam fitnah secara libel, undang-undang menganggap kerugian telah dialami dan tuntutan boleh dibuat bila-bila masa sahaja yang dituntut.

5.  FAKTOR-FAKTOR BERLAKUNYA FITNAH
Penyebaran fitnah ini sering berlaku di media sosial sehingga mendatangkan keburukan kepada masyarakat.  Kebebasan yang diberikan telah disalah guna oleh masyarakat sehingga menimbulkan masalah kepada semua orang.
Antara faktor yang menyebabkan berlakunya fitnah ialah kurangnya kesedaran diri mengenai keburukan apabila melakukan fitnah.  Individu haruslah menyedari bahawa sikap fitnah ini amatlah buruk yang dilarang oleh agama daripada melakukannya.  Individu juga haruslah sedar bahawa generasi muda inilah yang bakal menyambung dan memimpin negara suatu hari nanti.  Oleh itu, nilai-nilai agama yang baik mestilah diterapkan sejak di bangku sekolah lagi supaya hal ini tidak berlaku.

Seterusnya, kemudahan internet pada zaman sekarang juga menyebabkan penyebaran fitnah berlaku. Contohnya, penyebaran fitnah daripada email dan mesej yang dihantar secara berkelompok.  Apabila ramai yang berhubung secara begini, banyak fitnah disebarkan tanpa memeriksa perkara yang sebenar.  Fitnah yang tidak sahih akan disebarkan dan serta-merta akan menjadi permasalahan sejagat.  Contohnya, sesebuah pihak yang tidak bertanggungjawab membuat suatu fitnah terhadap seseorang melalui internet dan terdapat beberapa individu lain yang berkongsi “posting” tersebut, maka terjadilah fitnah secara berterusan.

6.  HUKUMAN DALAM UNDANG-UNDANG NEGARA
Dalam undang-undang fitnah telah disifatkan sebagai suatu jenayah kursus dalam kanun keseksaan di Bab 21, dari seksyen-seksyen  499-502 manakala seksyen 499 telah mentakrifkan perkataan “fitnah” dengan agak terperinci dan menyeluruh. Untuk penjenayah yang didakwa dengan jenayah fitnah ini jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.
Fitnah yang disebarkan melalui laman sosial juga boleh termasuk dibawah peruntukan fitnah yang terkandung dalam Kanun Keseksaan ini. Ini adalah kerana ia termasuk kepada “penyataan zahir menyiarkan apa-apa tomahan mengenai seseorang.” Yang membezakannya adalah dengan fitnah biasa ialah cara bagaimana ia dilakukan, iaitu penyebaran melalui laman sosial dan tidak lebih daripada itu, sedangkan tujuan dan motif penjenayah adalah sama iaitu merosakkan nama baik seseorang. Justeru, seksyen 499 boleh digunakan kepada fitnah yang dilakukan di alam siber ataupun media sosial jika mematuhi syarat dan kecualian yang termaktub dalam kanun keseksaan tersebut.

Disamping itu, peruntukan dalam seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 juga mungkin terpakai memandangkan subseksyen (1) seksyen berkenaan juga memasukkan perkataan-perkataan seperti “apa-apa komen,komunikasi lain yang palsu, atau  sifatnya, dengan niat untuk menyakiti hati, dan menganiya orang lain”. Frasa yang dimaksudkan dalam seksyen berkenaan juga boleh diterima pakai dalam kes-kes yang melibatkan fitnah yang dilakukan di komputer dan ini juga termasuklah di media- media sosial seperti facebook, twitter dan sebagainya. Walaubagaimanapun, hukuman dibawah akta ini mungkin lebih ringan berbanding dengan hukuman yang diperuntukan di bawah seksyen 500 Kanun Keseksaan.

7.  HUKUMAN DALAM UNDANG-UNDANG ISLAM
Bagi yang menyebarkan fitnah pula, apa yang dijanjikan oleh Allah swt ialah mereka akan menerima balasan sesuai dengan kadar apa yang dengan sengaja dan sungguh-sungguh dia kerjakan dari dosa isu buruk itu. Dan siapa yang mengambil bahagian yang terbesar, yakni yang menjadi sumber serta pemimpin kelompok itu, dalam penyiaran berita bohong itu maka baginya azab yang besar di akhirat nanti.

Dosa membuat fitnah ini lebih besar daripada membunuh kerana kesan fitnah ini sangat besar. Sedangkan pembunuhan sewenang-wenangnya adalah juga dilarang di dalam Islam dan hukuman qisas akan menanti kepada mereka yang membunuh apatah lagi perbuatan fitnah. Firman Allah swt dalam surah al-Baqarah sebahagian ayat 217 yang bermaksud: “…Dan berbuat fitnah lebih besar dari membunuh…

Kesan kedua daripada sifat fitnah ini ialah fitnah itu sendiri tergolong dalam perkara-perkara dusta. Kita dianjurkan untuk berhati-hati dalam perbualan seharian seharian kita kerana jika kita menyatakan perkara yang kita dengar sahaja maka ianya dianggap berdusta. Hal ini bertepatan dengan hadis Nabi saw yang bermaksud:

Dari Abu Hurairah ra bahawa Nabi saw bersabda, Seseorang itu cukup dianggap berdusta kalau ia mengatakan segala apa yang didengarnya.
(Hadis Riwayat Muslim)

Mutiara hadis ini menjelaskan bahawa perintah mengklarifikasi berita dan tidak membenarkan setiap perkataan yang tidak jelas sumbernya. Ibnu Alan berkata, ‘Makna hadis dan atsar dalam bab ini adalah teguran agar tidak membicarakan setiap hal yang didengar. Kerana, yang didengar itu adakalanya benar dan adakalanya dusta. Apabila seseorang membicarakan setiap hal yang didengarnya, maka ia telah berdusta. Kerana, ia memberitahukan apa yang tidak ada.

Doa Nabi Ibrahim agar di jauhi daripada fitnah juga terdapat di dalam al-Quran surah al-Mumtahanah ayat 5 yang bermaksud: Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan pendirian dan keyakinan kami terpesong kerana tindasan orang-orang kafir, dan ampunkanlah dosa kami wahai Tuhan kami; sesungguhnya Engkaulah sahaja Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Doa ini bagaikan menyatakan: Tuhan kami, jangan jadikan amal perbuatan, ucapan, dan keadaan sosial  kami buruk sehingga melahirkan kesan yang buruk bagi agama Islam, yang berakibat menjauhkan non muslim dari ajaran Islam dengan dalih, kalau ajaran Islam baik, tentu penampilan umatnya baik pula


8.  KESAN-KESAN FITNAH
1. Individu
Orang yang melakukan fitnah biasanya hanya mementingkan kepuasan diri sendiri tanpa memikirkan keburukan yang akan memberi kesan kepada orang lain pada hari mendatang.  Nama baik dan air muka seseorang individu boleh tercemar atau tercalar apabila wujudnya fitnah yang dilemparkan terhadapnya dan boleh membawa kepada keaiban.  Hal ini akan menyebabkan wujudnya rasa kebencian dan permusuhan oleh orang lain terhadap mangsa fitnah tersebut.  Oleh itu, individu tersebut bukan sahaja akan berdepan dengan cercaan dan pandangan serong malah reputasi dan kredibilitinya juga akan dipertikaikan.

Selain itu, fitnah secara tidak lansung boleh menyebabkan seseorang mangsa mengalami tekanan emosi dan masalah psikologi apabila timbul stigma, pandangan negatif dan prejudis terhadapnya.  Tanpa iman dan semangat yang kuat dan kental, seseorang itu pasti akan dicengkam dengan rasa sedih dan murung yang melampau sehingga melarikan atau menyepikan diri dari masyarakat.  Jika keadaan lebih teruk, mangsa mungkin mengalami agoraphobia, iaitu sejenis masalah apabila penghidapnya mengalami rasa takut yang melampau untuk berada di tempat awam atau terbuka.

Di samping itu, fitnah juga boleh menjejaskan periuk nasi mangsa dan pekerjaan atau sumber rezeki individu berkenaan akibat hilang kepercayaan orang sekeliling yang terlalu percaya akan fitnah yang tersebar itu.
  
2. Keluarga
Perbuatan fitnah juga akan menyebabkan sesebuah keluarga sukar untuk saling memahami antara satu sama lain kerana berlakunya salah faham.  Hubungan kekeluargaan juga akan sentiasa dipengaruhi rasa tidak tenteram dan sentiasa berbolak-balik. Ini secara tidak lansung akan menyebabkan timbulnya perasaan dendam dalam diri mereka dan mendorong kepada pergaduhan atau pertelelagahan.

Kesan terhadap individu juga akan memberi impak yang sangat besar terhadap hubungan kekeluargaan seperti tercetusnya masalah rumah tangga sehingga mengakibatkan penceraian akibat cerita buruk melalui fitnah yang tersebar.  Ini juga akan memudaratkan keluarga itu sendiri kerana berlakunya kekasaran dan pukul-memukul antara suami isteri sehingga memberikan tekanan kepada anak-anak khususnya yang masih kecil.

3. Masyarakat
Fitnah ialah satu perkara besar yang boleh merosakkan persaudaraan dan perpaduan.  Kesan daripada perbuatan itu bukan hanya merugikan seorang dua, malah menyebabkan permusuhan, pertelagahan serta hilangnya perasaan kasih sayang, hormat dan kepercayaan dalam kalangan masyarakat.  

Apabila ukhuwah serta semangat persaudaraan luntur, maka lenyap dan runtuhlah kebahagiaan dan kemanisan hidup bermasyarakat.  Oleh itu, hilanglah sifat permuafakatan dalam kalangan masyarakat dan berkuranglah amalan kemasyarakatan antara mereka yang telah dipupuk sejak azali lagi.  Kehidupan bermasyarakat mereka juga akan huru-hara dan porak peranda akibat permusuhan.

4. Negara
Fitnah juga mampu menngancam keselamatan negara apabila nama baik negara terjejas.  Anasir-anasir fitnah yang berleluasa mampu menyebabkan keseimbangan dan keselamatan negara tergugat lantas mencetuskan pergolakan.  Apabila salah faham akibat fitnah timbul seperti timbulnya provokasi sentimen perkauman dan keagamaan, suasana yang genting boleh mencetuskan peperangan dan pertumpahan darah.  Di samping kesan buruk fitnah terhadap institusi sosial, fitnah juga boleh menjatuhkan ekonomi negara.  Kesannya ialah mewujudkan sentimen anti sesebuah negara serta membentuk persepsi palsu dan negatif. Hal ini mampu memberikan impak kepada sektor ekonomi sesuatu negara.

Keburukan dan persepsi negatif ini boleh menakutkan pelabur dan peniaga asing untuk melabur di sesebuah negara itu.  Selain itu, fitnah juga akan memberi tempias kepada sektor pelancongan sesebuah negara malah boleh membawa kepada pemboikotan produk atau barangan dari sesebuah negara itu. Akibatnya, ekonomi negara akan menjadi lumpuh.

5. Agama
Penganut agama Islam akan rasa takut dengan balasan dosa dan azab seperti yang telah dinyatakan dalam Al-Quran dan Hadis.  Namun, penganut agama lain akan memandang serong terhadap agama Islam dan seterusnya hilang rasa hormat akan agama Allah ini akibat daripada budaya fitnah yang berleluasa dalam kalangan umat Islam pada masa kini.  Akhir sekali, penghinaan dan penindasan kepada umat Islam akan terjadi dengan lebih ekstrem.

8.  ANTARA KEBEBASAN BERSUARA DAN FITNAH DI SISI ISLAM
Agama Islam juga mengetengahkan beberapa hak asasi yang boleh dipraktikkan oleh seseorang Muslim. Sesungguhnya terdapat 6 kebebasan bersuara yang dianjurkan oleh Islam (Harun Mahmud Hashim, 2001). Antaranya ialah, hak memberi nasihat, hak berunding dan bermesyuarat, hak membuat ijtihad, hak mengkritik orang lain, hak memberikan pendapat, hak untuk berpersatuan dan akhir sekali hak kebebasan beragama.

Namun begitu persoalan tentang kebebasan bersuara ini banyak menimbulkan kontroversi di kalangan orang yang beragama Islam. Dari satu sudut, Islam dilihat sangat sempurna apabila membenarkan umatnya untuk menyuarakan pendapat masing-masing. Tetapi, apakah yang perlu dilakukan seandainya seorang yang menyuarakan pendapatnya telah didapati menghina ataupun menyatakan sesuatu terhadap agama Islam itu sendiri ataupun saudara sama-sama Islam? Masih boleh lagikah dia dibela di bawah prinsip kebebasan bersuara ataupun dia perlu dihukum sebagai orang yang tergolong dalam golongan pemfitnah?

Apabila wujud sesuatu kontroversi seperti penghinaan terhadap Islam dan Muslim, kaum Muslim akan berkempen untuk membawa golongan yang terlibat itu untuk dihadapkan ke mahkamah. Alasannya, mereka telah melancarkan fitnah. Namun bagi pihak yang dituduh, mereka berasakan yang mereka hanya mempraktikkan kebebasan bersuara yang dianjurkan oleh Islam. Perkara ini jugalah yang berlaku terhadap seorang ahli akademik Kuwait, Dr. Ahmad Al-Baghdadi yang dipenjarakan selama sebulan di Kuwait kerana didapati menulis dalam satu artikel bahawa Nabi Muhammad S.A.W. telah gagal dalam misinya di Makkah. (Abdelwahab El-Affendi, 1999) Sememangnya dari sudut Al-Quran itu sendiri telah menekankan bahawa Nabi Muhammad tidak gagal dalam misinya di Makkah. Hakikatnya, baginda berhijrah ke Madinah atas perintah Allah bagi memastikan keselamatan baginda dan kaum Muslimin terjamin. Misinya tidak terhenti setakat itu kerana daripada Madinah sendiri baginda masih lagi berusaha untuk mendidik dan berdakwah kepada penduduk Makkah.

Ini adalah sesuatu yang sangat subjektif kerana kadangkala ada pihak yang merasakan perkataan atau ayat itu tidak berbentuk fitnah tetapi pihak lain beranggapan yang sedemikian. Persepsi sebegini ini banyak dipengaruhi secara psikologi, latar belakang dan pengetahuan seseorang individu yang terbabit.

Ini akan menyebabkan individu yang bukan beragama Islam mempunyai salah tanggapan bahawa agama Islam itu ialah satu agama yang jumud, terhad dan tidak bebas. Sedangkan hakikatnya Islam itu merupakan satu agama yang mementingkan kebebasan bersuara seperti agama dan masyarakat lain. Cuma Islam sedikit unik apabila ia mementingkan kemakmuran dan keamanan dan dengan itu ia menolak segala macam bentuk penganiayaan kepada kaum Muslim dan juga bukan Muslim.

Islam juga menekankan bahawa mana-mana kaumnya yang mengeluarkan perkataan boleh dikategorikan sebagai fitnah sekiranya ia mendatangkan bencana kepada individu lain. Di dalam Al-Quran tidak disebut ‘perkataan’ yang hanya merujuk kepada perkataan lisan sahaja. Oleh itu, ia menunjukkan bahawa perkataan itu membawa maksud yang sangat luas merangkumi perkataan dari segi lisan mahupun bukan lisan. Oleh itu juga kajian tinjauan ini akan merungkai sama ada fitnah siber itu juga boleh dijatuhkan hukuman ataupun terangkum dalam golongan pemfitnah seperti yang terkandung dalam Al-Quran.

9.  LANGKAH-LANGKAH MENGATASI FITNAH
1.    Mewujudkan sebuah badan khas yang menyelenggara atau menapis segala paparan di laman sesawang. Hal ini kerana laman sesawang telah menjadi medium utama pada masa kini untuk menyebarkan fitnah kerana sifatnya yang terbuka dan bebas berbanding media cetak. Apatah lagi konsep kebebasan bersuara dan hak asasi manusia yang diamalkan tanpa sekatan dalam internet itu sendiri membolehkan sesiapa sahaja menghantar atau menyiarkan sebarang maklumat sama ada benar atau tidak. Seandainya sebuah badan penapis atau pemantau diwujudkan, cerita-cerita yang tidak sepatutnya dapat dihalang untuk disiarkan, seterusnya mampu mengurangkan masalah fitnah.

2.    Menguatkuasakan undang-undang yang lebih berkesan. Undang-undang tersebut bukan sekadar menyediakan hukuman berat kepada pesalah fitnah yang telah dibuktikan malahan mampu menakutkan semua, agar tidak sewenang-wenangnya berkata, menulis atau menyiarkan sesuatu yang tidak benar.

3.    Memberi pendedahan yang meluas kepada masyarakat akan etika penulisan yang sebenar juga merupakan cara untuk mengatasi masalah fitnah. Jika dilihat, masyarakat kini lebih cenderung untuk sekadar menulis apa yang terlintas di fikiran tanpa memikirkan implikasi yang timbul akibat penulisan tersebut. Hal ini terjadi kerana mereka tidak tahu dan tidak peka terhadap etika penulisan atau undang-undang berkenaan penulisan itu sendiri. Dalam hal ini, media massa dan elektronik akan memainkan peranan yang cukup besar dalam menyebarkan prosedur sebenar penulisan yang tidak melanggar syarat-syarat menulis bukan sahaja berkaitan isu sensitif seperti berkenaan agama dan politik malahan penggunaan bahasa yang sesuai dalam penulisan.

4.    Mewajibkan atau melakukan penegasan agar semua data-data, fail atau laman-laman sesawang didaftarkan sebelum boleh dilayari. Hal ini bagi memudahkan sebarang maklumat tidak sah atau tidak benar dikesan seterusnya membolehkan seseorang lebih berhati-hati dan meneliti terlebih dahulu tulisan mereka kerana dikhuatiri, jika penulisan tersebut mengandungi unsur fitnah, mereka akan dikenakan tindakan sewajarnya bak bidalan lama, ‘cakap siang pandang-pandang, cakap malam, dengar-dengar.’

10.  CARA-CARA UNTUK MENGHADAPI FITNAH DALAM AGAMA ISLAM
1)    Menghindari tuduhan yang bersifat prasangka adalah kewajiban yang wajib ditunaikan kaum muslim. Mereka terutama para pemimpin juga harus menyadari bahwa prasangka seperti itu menjadi pusat perhatian lawan maupun kawan. Karena itu, sedapat mungkin agar dapat menghindari tempat-tempat dan hal apa pun yang bisa menimbulkan prasangka buruk.

2)    Jangan menerima isu begitu saja. Berita apa pun yang tidak diperkuat dengan bukti, harus ditolak oleh setiap Muslim. Sebagaimana difirmankan Allah Ta’ala dalam al Qur’anul Karim, “Mengapa mereka (yang menuduh itu) tidak mendatangkan empat orang saksi atas berita bohong itu? Oleh karena mereka tidak mendatangkan saksi-saksi maka mereka itulah di sisi Allah adalah pendusta.” (QS. An Nur, 24:13)

3)    Menimbang secara cermat dalam menilai benar-tidaknya suatu isu. Caranya dengan membandingkan isu yang berkembang dengan kenyataan ada pada diri anda sendiri. Dengan demikian, pastilah anda akan tetap mempercayai teman anda itu seperti halnya mempercayai diri anda sendiri. Cara menimbang seperti itu diakui dan dipuji oleh Al Qur’anul Karim.

4)    Jangan sekali-kali membiarkan hawa nafsu ikut campur dalam tersebarnya berita bohong. Kerana memperturutkan hawa nafsu, sama saja kita menjerumuskan diri kita ke dalam lembah kesesatan.

5)    Janganlah membalas berita bohong dengan berita bohong yang lain dan janganlah membalas isu yang dusta dengan isu lain yang serupa. Hendaklah pula orang yang difitnah itu mampu menahan diri. Maksudnya, jangan membiarkan lidahnya berbicara yang melanggar kehormatan orang lain, sekalipun orang lain itu telah menganiaya dirinya, sampai terbukti dirinya benar dan tidak bersalah. Inilah sikap yang sangat penting, yang kita serukan kepada siapa pun yang sedang terkena isu.


11.  KESIMPULAN
Kesimpulannya, dapat kita lihat bahawa fitnah turut dinyatakan dengan jelas dalam Al-Quran dan juga sabda-sabda Nabi Muhammad S.A.W. sebagai satu perkara yang amat berbahaya kepada umat Islam khususnya. Siksaan yang dijanjikan Allah terhadap golongan yang memfitnah adalah sangat berat dan mereka tidak akan terlepas dengan mudah lebih-lebih lagi di akhirat. Islam juga telah menggariskan beberapa panduan yang khusus bagi memastikan umatnya tidak keliru dengan kebebasan bersuara yang dianjurkan sehingga boleh mengakibatkan fitnah.

Langkah-langkah untuk mengatasi fitnah di alam siber dan internet haruslah dibendung oleh semua pihak tidak kira dari pihak individu, masyarakat, agama dan negara.  Dengan kerjasama daripada semua pihak, pastinya masalah fitnah ini dapat dielakkan daripada berlaku. 

Seseorang individu haruslah sedar bahawa kebijaksanaan dalam menggunakan Internet semasa memberikan pendapat dan buah fikiran adalah amat penting. Biarpun Internet berupaya menjadi penghubung dan medium dalam penyampaian sesuatu pengetahuan dan maklumat, mereka perlu lebih peka dengan perkara-perkara sensitif yang perlu dipelihara agar keharmonian sejagat dapat dikekalkan.

Setiap kata-kata yang dikeluarkan daripada mulut ataupun tulisan di media sosial haruslah dijaga agar ia tidak menjadi fitnah.  Jaga hati kita daripada mengeluarkan fitnah kepada orang lain dan elakkan daripada hasad dengki dalam diri setiap orang. Bayangkan jika kita yang terkena fitnah itu, pasti kita akan turut kecewa.  Oleh itu, fikir dahulu sebelum mengeluarkan segala kata-kata yang tidak pasti terhadap seseorang.  Kepada mereka yang terkena fitnah, semoga tabah dan bergantunglah kepada Allah kerana sesungguhnya hanya Allah yang dapat menolongmu dan semoga Allah memberi hidayah kepada pemfitnah itu.

12.  LAMPIRAN




13.  RUJUKAN

Buku Rujukan

Marzuki Sepiaail, Rina Fakhizan Mohd Sukri, Alias Mat Saad (2016).  Komunikasi dan Penyiaran dalam Islam, Selangor:  Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Laman Web

Perleluasan Fitnah Yang Berlaku Dalam Internet atau Media Sosial

DUA 6022: KOMUNIKASI & PEN...